Thursday, February 19, 2004

Jumaat, 20 Februari 2004
Sabah & Sarawak -


Sabah tingkatkan usaha perangi dadah habis-habisan
Oleh Francis Andin



MUSA(tengah) menerima cenderamata daripada Alexander (kanan)
sambil diperhatikan oleh Sairin.
รข€“ Gambar oleh Francis Andin

KENINGAU: Kerajaan Sabah memandang serius gejala penyalahgunaan dadah di kalangan belia negeri ini dan kini memperhebatkan usaha membanterasnya habis-habisan hingga ke peringkat akar-umbi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, sehubungan itu berkata kerajaan melaksanakan program bersepadu di pelbagai peringkat membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, program itu termasuk yang menjurus kepada pemupukan kesedaran mengenai bahaya dadah dan kesannya kepada masyarakat serta negara.

"Untuk itu, kerajaan akan meningkatkan operasi membanteras gejala dadah melalui pihak berkuasa kerajaan, swasta dan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis ikrar pemimpin masyarakat Kampung Mukim Apin-Apin, dekat sini kelmarin.

Pada majlis itu, lebih 40 pemimpin masyarakat terdiri daripada Ketua dan Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua kampung, diketuai Ketua Anak Negeri; Alexander Kandau, dari Mukim Apin-Apin, menyatakan sokongan padu dan ikrar taat setia kepada kerajaan negeri.

Hadir sama Pengerusi Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Sairin Karno dan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Musa yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke daerah ini berkata ketika ini tahap penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal, namun langkah pencegahan awal perlu diambil.

"Masalah penagihan dadah terutama membabitkan belia harus dibendung untuk memastikan golongan pelapis kepemimpinan negara terdiri daripada generasi sihat dan berilmu pengetahuan.

"Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama padu kepada kerajaan melalui program yang dijalankan di tempat masing-masing," katanya, sambil menegaskan sokongan rakyat biasa penting untuk menjayakan impian kerajaan memerangi dadah.

Beliau berkata pelajar sekolah adalah antara golongan sasaran program yang akan dijalankan kerajaan.

Sehubungan itu, Musa menasihatkan ibu bapa mengambil berat mengenai kegiatan dan pergerakan anak-anak mereka yang masih bersekolah untuk menentukan mereka tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah.

"Sikap prihatin ibu bapa terhadap anak-anak menjamin masa depan mereka, sekali gus membentuk generasi muda yang sihat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa menasihatkan pemimpin masyarakat supaya menunaikan tanggungjawab mereka secara jujur, bersih, cekap dan amanah.

Katanya, pemimpin di peringkat kampung adalah penghubung antara rakyat dan kerajaan.

"Justeru, setiap pemimpin yang dilantik harus menyampaikan maklumat yang tepat kepada penduduk dan mengemukakan masalah penduduk kepada kerajaan mengikut prosedur yang ada," katanya.

Beliau turut berharap pemimpin masyarakat di peringkat kampung bekerja kuat ke arah memajukan kampung dan memupuk perpaduan sedia wujud.

Jumaat, 20 Februari 2004

Berita Nasional -


80 peratus penagih gagal dipulihkan
Oleh Kamudin Baharom


PADANG BESAR: Sebanyak 20 peratus daripada 12,000 penagih dadah yang sudah melalui proses pemulihan di 28 pusat pemulihan di seluruh negara setiap tahun, dikenal pasti dapat kembali ke pangkuan masyarakat.
I k l a n




Sebanyak 80 peratus lagi gagal dan berdepan pelbagai masalah yang sekali gus memaksa mereka kembali terjebak dengan penyakit sosial itu.

Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Datuk Ramli Abd Rahman, berkata jumlah itu adalah cukup tinggi dan tidak berbaloi berbanding perbelanjaan besar yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun bagi membiayai program pemulihan di semua pusat pemulihan di seluruh negara iaitu kira-kira RM30 juta.

"Sepatutnya selepas menjalani proses pemulihan mereka yang terbabit bukan saja bebas daripada penagihan dadah malah diterima dan kembali berada dalam keluarga dan masyarakat.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila mendapati kira-kira 80 peratus daripada mereka itu (12,000 orang) kembali semula terperangkap dengan penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan Hari Terbuka Pusat Serenti Bukit Chabang (PSBC) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat PSBC, semalam.

Turut hadir, Ahli Exco Negeri, Datuk Ishak Arshad, Datuk Yazid Mat dan Loh Yoon Foo; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UUM, Prof Dr Mahmood Nazar Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah ADK (Operasi), Datuk Mukhtar Ismail dan Komanden PSBC, Shaballah Zanal Abidin.

Ramli berkata, berdasarkan kadar penagihan, hanya dua daripada 10 penagih yang keluar daripada pusat pemulihan di dikenal pasti bebas daripada gejala itu.

Katanya, daripada laporan yang diterima bekas penagih terbabit terpaksa berbuat demikian setelah menghadapi pelbagai masalah termasuk tidak mendapat sokongan daripada masyarakat termasuk keluarga.

"Sebagai jalan singkat, penagih terbabit tidak mempunyai pilihan melainkan berpatah balik iaitu menagih semula," katanya yang mengharapkan sokongan daripada semua pihak bagi menangani masalah itu.

Justeru katanya, bagi menangani masalah itu ADK kini sedang membuat kajian terperinci dan akan mengemukakan satu laporan khas kepada kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

Ramli juga melahirkan rasa kagum dan tertariknya dengan cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menubuhkan Biro Pemulihan Dadah pada semua peringkat bahagian dalam Umno negeri.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan perangkaan National Anti Dadah Information (Nadi), dianggarkan kira-kira 250,000 penagih dadah kini sedang menjalani proses pemulihan di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu adalah cukup tinggi dan boleh dianggap serius jika mengambil kira bilangan penduduk negara ini yang berjumlah 25 juta.